“Apa Sahaja Boleh Berlaku Pada Hari Pertandingan”

BIAR siapa pun pencabar dalam acara pecut, tumpuan tidak seharusnya terarah hanya kepada raja pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi ataupun kepada Usin Bolt Malaysia, Muhammad Azeem Mohd Fahmi pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Johor, tahun depan.

Jurulatih Azeem, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, apa sahaja mungkin berlaku pada hari pertandingan yang mana mungkin ada pelari baru muncul menggegarkan trek ketika tumpuan ramai terarah pada Haiqal dan Azeem.

Bagi Amir dia mahu Azeem terus kekal fokus dan buat yang terbaik seterusnya terima apa sahaja keputusan pada hari pertandingan itu.

“Sebenarnya tidak perlu beri penekanan kepada siapa yang akan muncul juara. Saya tak kisah siapa yang menang jadi tidak perlu ada tekanan.

“Memang orang akan beri perhatian pada Haiqal dan Azeem tapi pada saya tidak perlu semua itu kerana kita tidak tahu tiba-tiba ada pelari baru yang muncul, jadi itu yang perlu di beri perhatian,” katanya.

Berdasarkan prestasi semasa dan tanpa kelibat atlet kebangsaan yang sudah melebihi had umur, Haiqal dan Azeem antara calon pilihan untuk bergelar juara Sukma Johor dalam acara riben biru itu.

Namun melihat daripada umur dan pengalaman nyata ia lebih memihak kepada Haiqal yang sudahpun menakluk pentas Asia Tenggara di Sukan Sea Filipina yang lalu dengan catatan 10.31 saat (s).

Justeru menurut Amir, andai Azeem berjaya muncul juara di Sukma mungkin itu adalah rezekinya tapi jika tewas, dia mempunyai masa untuk terus mencuba kerana pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dua tahun lalu itu masih muda.

Bagaimanapun Azeem yang merekodkan catatan terbaik peribadi 10.57s tahun lalu dinasihatkan untuk kekal tenang dan tidak tertekan dengan apa juga situasi.

WhatsApp chat