COVID-19: Kelab Di Bundesliga Dijangka Akan Muflis

LIGA Jerman, Bundesliga dijangka disambung semula awal Mei ini selepas ditangguhkan sejak 13 Mac lalu akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Ia sekali gus memberikan kelegaan kepada beberapa kelab dalam saingan liga itu yang diancam muflis sekiranya liga di negara itu tidak diteruskan.

Liga Bola Sepak Jerman (DFL) memberi bayangan Bundesliga akan bermula semula pada 9 Mei ini dan hanya menunggu pengesahan daripada pihak kerajaan.

Bekas pemain Jerman dan Borussia Dortmund, Steffen Freund berkata, ia petanda positif buat liga tersebut dan merupakan keputusan yang dinantikan semua pasukan bertanding.

“Jika tidak disambung semula dalam dua hingga tiga bulan akan datang, banyak kelab Bundesliga dan Bundesliga 2 akan muflis dan tidak akan mempunyai jumlah pasukan yang cukup untuk bertanding musim depan.

“Jadi saya amat positif setakat ini. Jika bukan pada 9 Mei, saya fikir paling tidak Liga Jerman akan dimulakan akhir Mei dan tanpa kehadiran penonton,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan untuk menyambung liga itu menimbulkan banyak perdebatan terutama mengenai tahap keselamatan pemain dan pegawai ketika perlawanan.

“Memang ia akan menjadi masalah. Salah satunya untuk melakukan ujian kepada pemain sebelum dan selepas perlawanan berakhir.

“Namun, seperti yang saya katakan liga perlu diteruskan kerana kelab berharap mereka dapat wang daripada hak penyiaran dan jika gagal mereka akan muflis,” katanya.

WhatsApp chat