Berbaloi Guna Duit Sendiri Berguru Di California

KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin menyifatkan keputusan mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi menampung kos ‘berguru’ di luar negara berbaloi kerana ia memberi ilmu yang berharga buat dirinya.

Atlet berusia 25 tahun itu yang mendapat bimbingan jurulatih baharu, Reedus Thurmond berkata, semuanya berjalan lancar sepanjang tempoh dua bulan menjalani latihan di Pusat Latihan Olimpik Chula Vista di California, Amerika Syarikat bermula Februari hingga April lalu.

“Apa yang saya inginkan, apa yang saya cari sebelum ini… apa kesilapan saya dan teknik balingan yang patut saya ubah, saya sudah dapat memperbaikinya di sana.

“Jurulatih baharu saya juga sangat membantu, dia cepat mengenal pasti kesilapan saya.

“Corak latihan pun sudah berubah… jika sebelum ini hanya baling dua atau tiga kali seminggu, namun di sana hampir setiap hari saya buat balingan. Bila kita kerap buat balingan, kita boleh nampak kesilapan kita,” katanya kepada BH Sukan.

Pemenang pingat emas Sukan SEA empat kali berturut-turut itu berkata, dia mendapat motivasi yang luar biasa sepanjang latihan di sana apabila berpeluang menyaksikan atlet bertaraf bintang turut menjalani di pusat latihan sama.

“Persekitaran latihan di sana memang terbaik. Apabila melihat juara Olimpik dan juara dunia berlatih, secara automatik ia meningkatkan motivasi saya,” katanya yang memenangi emas Sukan SEA bermula edisi 2013 dan 2019.

Bagaimanapun, Irfan mengakui sedikit kecewa kerana tidak dapat menyertai sebarang kejohanan sepanjang latihannya di California susulan pandemik COVID-19.

“Sepatutnya saya menyertai lima kejohanan bermula awal April hingga pertengahan April. Namun, semua kejohanan dibatalkan disebabkan COVID-19.

“Memang agak kecewa kerana ketika itu saya dapat rasakan yang saya mampu untuk memecahkan rekod kebangsaan selepas menjalani latihan di sana tetapi kekal positif dan anggap ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya.

WhatsApp chat