Zii Jia Harap Pihak Berkuasa Beri Kelulusan Untuk Berlatih

KUALA LUMPUR: Pemain skuad badminton negara sememangnya sudah tidak sabar untuk kembali menjalani latihan selepas hampir dua bulan bercuti susulan pandemik COVID-19.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia mengakui gembira selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi bayangan latihan akan kembali bersambung bermula 1 Jun ini di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

“Saya memang sudah bersedia sepenuhnya (untuk kembali berlatih). Malah, saya percaya pemain lain juga sudah tidak sabar untuk kembali menjalani latihan.

“Jadi, saya berharap MKN (Majlis Keselamatan Negara), KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) memberi kelulusan untuk kami kembali berlatih seperti mana yang dirancang BAM,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu kepada BH Sukan.

Semalam, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pemain negara dijangka kembali menjalani latihan di ABM secara berperingkat bermula dengan pemain di bawah program Road to Tokyo (RTT) pada 1 Jun ini, tertakluk kelulusan daripada MKN dan KBS.

Katanya, selepas pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, badan induk itu sudah pun membuat persiapan dengan menetapkan prosedur operasi standard yang ketat bagi menyambut kepulangan pemain ke ABM.

Program latihan skuad badminton terpaksa ditangguhkan berikutan keputusan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PPK) susulan pandemik COVID-19 sejak 18 Mac lalu.

Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia turut senada dengan Zii Jia apabila menyifatkan ia detik yang paling dinantikan selepas dua bulan tidak turun ke gelanggang.

“Saya memang sudah bersedia bila-bila masa saja jika dipanggil untuk kembali menjalani latihan. Namun, masih ada sebulan lagi sebelum tarikh yang dijangka itu (kembali berlatih).

“Jadi, saya akan teruskan latihan fizikal saya di rumah seperti biasa dan mengharapkan dapat kembali ke gelanggang secepat mungkin,” kata Aaron yang bergandingan bersama Soh Wooi Yik.

WhatsApp chat