Pasukan Terengganu Optimis Kekalkan Gelaran Juara SUKMA

JUARA bertahan,Terengganu masih berada pada landasan tepat untuk mengekalkan status itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal berlangsung dari 6 hingga 14 Mac tahun depan di Johor.

Keyakinan dan harapan tinggi itu disuarakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu yang percaya walaupun tarikh kejohanan itu ditunda, ia tidak menghalang barisan atlet untuk mempertahankan gelaran.

Beliau berkata, tempoh berkenaan adalah mencukupi buat atlet untuk bersedia sebelum bertempur dalam kejohanan edisi ke-20 itu.

Katanya, atlet Terengganu masih bersemangat untuk melakar kejayaan sebagaimana Sukma di Perak pada 2018 walaupun sedar halangan getir yang bakal diharungi nanti.

“Kami bersetuju dengan tarikh baharu kejohanan sukan dwitahunan itu yang sudah diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Khamis lalu selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma.

“Jawatankuasa ini juga memutuskan pada Oktober 2020 akan ada penelitian semula tarikh sukan itu berdasarkan perkembangan semasa mengenai pandemik Covid-19 dan arahan kerajaan berikutnya.

“Jika isu dan masalah virus ini serta arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat ditangani dengan segera, tempoh persiapan atlet masih mencukupi walaupun terjejas sedikit berikutan ketidaktentuan tarikh dan arahan kerajaan mengenai PKP ini.

“Hal ini kerana persiapan atlet untuk sukan prestasi tinggi memerlukan masa yang panjang bukannya sebulan dua sebaliknya atlet dipersiapkan dalam tempoh lebih dari lima tahun untuk mereka cemerlang dalam Sukma atau kejohanan-kejohanan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan atlet Terengganu sentiasa bersedia dan mampu menjadi pencabar terkuat menghadapi kejohanan sukan terbesar dalam negara itu, pelan periodisasi juga perlu ada perubahan.

“Setiap perubahan tarikh baharu sudah tentu akan menyebabkan perubahan perlu dibuat kepada pelan periodisasi atau program latihan bagi memastikan setiap atlet mencapai prestasi pada masa yang tepat iaitu pada tarikh Sukma sebenar, jadi kita sudah mengarahkan jurulatih bersedia dengan kemungkinan ini,” katanya.

WhatsApp chat