Wada Berang & Tuntut Penjelasan Dari Sun Yang

AGENSI Anti Doping Dunia (Wada) menuntut penjelasan selepas laporan mendedahkan bintang perenang China, Sun Yang dipanggil menyertai sesi latihan kebangsaan untuk Sukan Olimpik sekaligus gagal mematuhi hukuman dikenakan ke atasnya.

Dua bulan lalu juara tiga kali Olimpik itu dikenakan lapan tahun penggantungan selepas enggan memberikan sampel dopingnya.

Selain berjaya dengan rayuan, perenang berusia 28 tahun itu tidak boleh menyertai Sukan Tokyo 2021 dan kariernya bakal berakhir.

Bagaimanapun, media China melaporkan semalam, Sun disenaraikan untuk sesi latihan kebangsaan dari 1 April hingga 30 Jun.

Media memaparkan nama Sun dalam senarai untuk persediaan Olimpik yang ditunda ke musim panas 2021 susulan pandemik koronavirus.

Bagaimanapun, Persatuan Renang China (CSA) berkata, pemegang rekod dunia acara 1500m gaya bebas itu masih menjalani hukuman penggantungannya.

“Notis sebelum ini tidak sah,” kata CSA dalam kenyataan pendek.

Wada yang tidak berpuas hati dengan jawapan CSA berkata: “Kami akan membuat tindakan susulan dengan pihak relevan untuk menentukan fakta sebenar.”

Sun menyisihkan diri sejak dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Abritrasi untuk Sukan. Ia penyalahgunaan doping kedua selepas digantung tiga bulan pada 2014 kerana mengambil bahan terlarang.

Dia didakwa enggan memberikan sampel darah dan urin ketika penguji dadah datang ke rumahnya di China pada September 2018.

WhatsApp chat