Atlet Eropah Tambah Cuti Akibat Pembatalan Kejohanan

KEJOHANAN Olahraga Eropah yang dijadualkan berlangsung di Paris pada musim panas terpaksa dibatalkan susulan pandemik koronavirus.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan awal pagi tadi, jawatankuasa penganjur dan Persekutuan Olahraga Perancis (FFA) berkata, mereka lebih mengutamakan tanggungjawab terhadap kesihatan dan membendung penularan wabak Covid-19 sebelum membuat sebarang keputusan.

Kejohanan itu berlangsung pada 25-30 Ogos. Pada Mac lalu Sukan Olimpik 2020 ditunda ke 2021 disusuli penangguhan Liga Berlian di Eugene, Oregon dan Paris.

“Kami benar-benar berusaha,” kata Jean Gracia, presiden jawatankuasa penganjur Paris. “Kami semua berharap situasi kembali bormal tetapi malangnya ia tidak menjadi.

“Kami melihat semua keadaan termasuk mengurangkan jumlah atlet dalam setiap acara dan mengurangkan jumlah penonton kepada separuh.”

Badan induk olahraga Eropah (EA) berkata, keputusan diambil susulan mesyuarat dengan jawatankuasa penganjur dengan FFA dan rundingan lebih awal dengan beberapa pihak di Perancis termasuk kementerian sukan.

Menurut EA, mereka akan membincangkan perubahan dalam kalendar global atlet pada sidang video yang dijangka 7-8 Mei depan.

Liga Berlian Eugene dijadualkan pada 7 Jun dengan Paris berlangsung enam hari kemudian. Secara keseluruhan lapan kejohanan dibatal atau ditangguhkan dengan tarikh baharu belum ditetapkan.

WhatsApp chat