Megat Sah Letak Jawatan Sebagai Presiden Persatuan Kanu

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menunaikan janji apabila sah melepaskan jawatannya sebagai presiden persatuan itu, hari ini.

Menerusi satu kenyataan, peletakan jawatan terbabit dipertimbangkan susulan pelbagai faktor termasuklah komitmennya bersama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) selain ‘ketegangan’ yang dihadapi bersama Exco persatuan itu.

“Faktor tidak sependapat dan kegagalan mencapai kata sepakat dalam pelbagai perkara menyebabkan hubungan antara saya dan Exco retak sebelum timbul cubaan membuat undi tidak percaya terhadap saya.

“Saya akur dengan tindakan kumpulan itu walaupun kecewa kerana gagal menyelesaikan apa yang dimulakan bersama oleh kami.

“Selepas mengambil kira perkara terbabit selain komitmen tinggi yang perlu diberikan kepada MPM selepas terpilih sebagai presiden majlis itu bagi penggal 2019-2023, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya selaku Presiden MASCA meletakkan jawatan,” katanya.

Sebelum ini, Megat menegaskan dia bersedia melepaskan jawatan lain disandangnya ketika ini untuk memberi fokus sepenuhnya kepada MPM.

Dalam masa sama, Megat mengakui dia sudah sedaya upaya cuba mengangkat imej sukan kanu, meningkatkan nilai komersial sukan itu dan memperbaiki struktur pengurusan persatuan hanya dalam tempoh setahun.

“Bahkan ratusan ribu ringgit sudah dilaburkan untuk menghidupkan semula sukan kanu dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan pertandingan bertaraf kebangsaan seperti Kejohanan Sirkit Kebangsaan di Tasik Putrajaya pada April 2019 dan Sesi Akhir Pemilihan Pasukan Kebangsaan di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang, Julai tahun yang sama.

“Ini adalah antara inisiatif saya bersama Exco MASCA bagi memastikan sukan kanu mendapat pengiktirafan untuk diperakui sebagai sukan teras setelah sekian lama ia banyak bergerak sendirian dan hanya menjadi pelengkap kalendar sukan negara tanpa pencapaian memberangsangkan sejak ditubuhkan pada 1983,” katanya.

WhatsApp chat