Riyadh, Doha Bersaing Membida Penganjuran Sukan Asia 2030

DUA negara Teluk, Arab Saudi dan Qatar bersaing membida penganjuran Sukan Asia 2030, menurut Jawatankuasa Olimpik Asia (OCA) selepas menerima tawaran daripada kedua-dua negara terbabit.

“Doha, ibu negara Qatar dan Riyadh ibu kota Arab Saudi membuat tawaran rasmi untuk menganjurkan Sukan Asia ke-21,” kata OCA dalam kenyataan di Riyadh, semalam.

“Dokumen bidaan daripada Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan kedua-dua negara dilampirkan bersama surat sokongan bandar dan kerajaan masing-masing.”

Arab Saudi bersama Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Doha pada 2017 apbila mendakwa negara itu menyokong keganasan dan terlalu rapat dengan Iran — tuduhan yang dinafikan Qatar.

Rundingan untuk memulihkan kembali hubungan terhenti selepas beberapa siri diplomasi tahun lalu menampakkan tanda positif.

Doha menganjurkan Sukan Asia pada 2006 tetapi Arab Saudi tidak pernah menganjurkan temasya sukan kelolaan OCA.

OCA membuka bidaan Sukan Asia 2030 kepada 45 gabungan ahlinya pada Rabu lalu.

“OCA gembira menerima dua bidaan yang kuat untuk Sukan Asia 2030,” kata Presiden OCA, Ahmad al-Sabah dalam kenyataan itu.

“Ia meningkatkan reputasi kami dalam penganjuran acara sukan bertaraf dunia dengan skala besar.”

Bandar yang akan menjadi tuan rumah dipilih pada Mesyuarat Agung OCA di China pada 29 November.

WhatsApp chat