Bekas Pemain Man United, Fellaini Sah Positif Korona Virus

BINTANG Belgium, Maroune Fellaini yang kini beraksi dengan kelab Liga Super China, Shandong Lunend, menjadi pemain pertama daripada liga berkenaan yang disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Pemain berusia 32 tahun yang pernah beraksi bersama Everton dan Manchester United itu kini berada di Hospital Jinan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Fellani dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Jumaat lalu, bagaimanapun tidak ada menunjukkan sebarang simptom wabak berkenaan seperti demam mahupun batuk.

Menerusi laman Twitternya, Fellaini sempat memaklumkan perkara berkenaan kepada rakan-rakan selain memuat naik gambar terkininya Ahad lalu.

“Kepada semua rakan-rakan, saya telah diuji untuk wabak koronavirus dan keputusan ujian mendapati saya positif.

“Terima kasih kepada semua peminat, kakitangan perubatan dan kelab (Shandong Luneng) untuk penjagaan mereka.

“Buat masa ini saya akan mengikuti rawatan dan berharap dapat kembali beraksi secepat mungkin. Jaga diri semua,” ciapnya.

Sementara itu pihak Shandong Luneng menerusi satu kenyataan berkata, kelab berkenaan akan cuba sedaya upaya untuk memberikan perlindungan kepada semua pihak yang membantu memberikan rawatan kepada Fellaini.

Pihak pengurusan kelab juga mengharapkan agar Fellaini dapat segera sembuh daripada jangkitan wabak berkenaan.

“Dia (Fellaini), telah menyatakan penghargaannya kepada penyokong dan juga rakan-rakannya.

“Malah, dia juga percaya, dia akan pulih secepat mungkin dan kembali beraksi dengan lebih kuat selepas ini,” menurut kenyataan berkenaan.

WhatsApp chat