Atlet & Pegawai Disahkan Selamat Dari Wabak Korona Virus

SERAMAI 48 pegawai, jurulatih dan atlet yang pernah berhubung rapat dengan atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, didapati negatif Covid-19.

Jackie sebelum ini menjadi atlet pertama negara disahkan positif Covid-19.

Mereka terbabit menjalani ujian di Pusat Kesihatan Daerah Cheras pada 18 Mac lalu dan keputusan dikeluarkan kelmarin mendapati kesemua yang mempunyai kontak rapat dengan Jackie sebelum ini adalah negatif.

Bagi Jackie yang kini menjalani kuarantin di Hospital Sibu, Sarawak tiada apa yang menggembirakan dirinya ketika ini selain daripada berita yang diterima itu.

“Ia berita yang amat menceriakan saya. Seramai 48 orang yang pernah berhubung rapat dengan saya sebelum ini semua negatif.

“Dengan ini saya boleh sahkan bahawa saya dijangkiti Covid-19 selepas saya balik ke kampung pada 11 Mac manakala ayah saya disyaki ketika menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Sibu bersama dengan peserta perhimpunan tabligh pada 2 Mac lalu,” katanya.

Pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi itu dengan catatan 67.01 meter (m) itu kini dilaporkan dalam keadaan sihat dan stabil.

Kesemua 48 atlet dan pegawai sebelum ini menjalani kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) selama seminggu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi meneruskan perintah kawalan pergerakan selepas MSN ditutup kepada orang ramai sehingga 31 Mac ini.

WhatsApp chat