Perintah Kawalan Pergerakan Bukan Masa Berehat: Aidil

SKUAD Kedah tidak akan menjadikan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan bermula 18 hingga 31 Mac sebagai alasan untuk rehat dan tidak melakukan sebarang perkembangan bagi membantu memperkukuhkan kekuatan pasukan.

Ketua jurulatih skuad Lang Merah, Aidil Sharin Sahak berkata, sebaliknya masa yang terluang ini tetap akan dimanfaatkan oleh setiap pemainnya dengan latihan sendiri di rumah dan mengembangkan ilmu melalui bahan bacaan dalam talian dan video mengenai perlawanan bola sepak.

“Semua pemain akan berlatih sendiri di rumah masing-masing dan kemudian mereka akan hantar gambar latihan yang mereka jalankan kepada jurulatih masing-masing.

“Tiada istilah rehat bila berada di rumah, sebaliknya mereka (pemain) perlu ‘bekerja’ dengan apa yang mereka ada termasuk membuat analisa perlawanan yang lepas dan juga menonton perlawanan pihak lawan yang akan Kedah tempuhi selepas ini

“Kami berharap sementara tempoh PKP yang dilalui ini, kami dapat menimba sebanyak mana ilmu yang boleh bagi membantu pasukan untuk lebih bersedia pada perlawanan yang akan dihadapi selepas ini,” katanya.

Aidil Sharin juga berkata, dalam tempoh PKP skuadnya tetap memiliki sasaran yang perlu dilakukan dan walau dalam keadaan terhad beliau yakin pemainnya mampu mengekalkan tahap disiplin diri.

“Dalam tempoh PKP ini kita tiada pilihan selain mematuhi peraturan yang ditetapkan, namun kita perlu terus mendisiplinkan diri dan mengekalkan fokus selepas memperolehi kemenangan pertama ke atas Selangor.

“Ia memberi motivasi penting kepada setiap pemain dalam usaha meneruskan rentak perlawanan yang dirancang untuk musim 2020 ini,” katanya.

WhatsApp chat