Conmebol Mohon FIFA Tangguh Pusingan Kelayakan Piala Dunia

KONFEDERASI Bolasepak Amerika Selatan (Conmebol) meminta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk menangguhkan saingan kelayakan Piala Dunia 2022 sehingga September depan susulan wabak koronavirus.

Saingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan dijadualkan bermula 26 Mac ini, namun ditangguhkan kerana wabak Covid-19.

Ketika seluruh dunia bergelut dengan virus itu, badan bola sepak Amerika Selatan itu bercadang untuk memulakan saingan pada September depan.

“Menerusi langkah ini, pihak konfederasi mahu memastikan semua langkah berjaga-jaga menentang wabak ini diambil, selaras dengan saranan pertubuhan kesihatan,” kata wakil Conmebol.

Dalam aksi pembukaan saingan kelayakan, juara Copa America, Brazil akan melayan kunjungan Bolivia sementara Argentina menentang Ecuador.

Copa America 2020 ditangguhkan sehingga 2021 susulan wabak koronavirus.

Tarikh baharu Copa America 2021 dijadualkan pada 11 Jun sehingga 11 Julai.

Secara keseluruhannya, lebih 10,000 kematian membabitkan 245,000 kes Covid-19 di seluruh dunia.

WhatsApp chat