Bayern Munich Tetap Meneruskan Latihan Menerusi Talian

MUNICH, Jerman: Tidak mahu melakukan perjalanan tidak diperlukan sambil mengekalkan hubungan sosial, Bayern Munich memperkenalkan sesi ‘latihan siber’ dengan pemain berlatih bersama secara dalam talian mengikut penstriman daripada ibu pejabat kelab.

“Kami semua cuba untuk berdepan situasi ini dengan cara yang positif,” kata jurulatih Bayern, Hansi Flick di laman sesawang kelab.

“Semalam (Rabu) pada jam 11 pagi, kami menjalani ‘Latihan Siber’ pertama, dengan pasukan dilatih dari jauh. Semua orang bermotivasi, semua orang melakukannya dengan baik.”

Negeri Bavaria masih belum memperkenalkan langkah pengasingan mandatori tetapi pendahulu Bundesliga, Bayern mengambil keputusan pemain berada di rumah dalam usaha terbaik menghormati peraturan pihak berkuasa kesihatan.

“Pemain dilengkapi jam rakaman kecergasan. Ini bermakna kami akan dapat semua data berkaitan pemain, seperti degupan jantung di skrin komputer kami,” kata Holger Broich, ketua jurulatih kecergasan kelab itu.

Flick menegaskan bahawa terus berhubung dengan pemain seperti biasa sama penting seperti latihan itu sendiri.

“Adalah penting kami berhubung antara satu sama lain setiap hari. Seluruh kumpulan berada di sana untuk berlatih,” kata Flick yang mengetuai sesi itu yang diikuti pemain menerusi tablet mereka. – AFP

WhatsApp chat