Presiden Melaka United Janji Terus Pimpin Pasukan

KETUA Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali bakal melihat semula struktur Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) selepas dilantik secara automatik sebagai presiden badan induk itu.

Sulaiman berkata, sebagai presiden dia mahu memastikan yang terbaik buat persatuan itu dalam memastikan Melaka terus cemerlang.

“Saya akan melihat semula struktur persatuan itu sendiri. Mereka (pengurusan MUSA) akan memaklumkan kepada saya struktur terbabit serta memberi penerangan berkaitan persatuan termasuk mengenai kewangan MUSA dan perkara yang lain.

“Jika saya terus memegang jawatan ini, saya akan terus memimpin pasukan bola sepak ini demi kebaikan negeri,” katanya.

Sulaiman sekali gus menggantikan Damian Yeo Shen Li yang menjawat jawatan itu sejak 1 November lalu selepas mantan Ketua Menteri, Adly Zahari meletak jawatan pada hari yang sama.

Kelmarin, Damian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, mengadakan perjumpaan bersama Sulaiman bagi sesi perbincangan mengenai skuad terbabit.

Dalam perbincangan itu, Sulaiman memberi ruang kepada Damian untuk bekerjasama dalam arena bola sepak asalkan membawa kebaikan kepada Negeri Melaka.

WhatsApp chat