Status SUKMA Johor Akan Ditentukan Minggu Depan

KEPUTUSAN sama ada penganjuran temasya dwitahunan Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 yang dijadual berlangsung Julai ini akan diteruskan atau tidak akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa SUKMA minggu hadapan.

Pengerusi Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata keputusan muktamad akan diperoleh pada mesyuarat dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Kerajaan Johor mengambil maklum dengan situasi semasa penularan wabak coranavirus (COVID-19) yang semakin membimbangkan.

“Oleh itu, penganjuran SUKMA Johor 2020 akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

“Insya Allah pada minggu depan mesyuarat berkenaan akan diadakan, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dilaporkan mencadangkan tarikh SUKMA Johor Julai depan dikaji semula selain menyokong penangguhan Sukan Olimpik Tokyo berikutan penularan wabak COVID-19.

Rabu lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata Kerajaan Johor tidak berhasrat untuk menangguhkan penganjuran SUKMA Johor 2020 berikutan semua persiapan sudah berada pada peringkat akhir.

Hasni dilaporkan berkata, pihaknya bagaimanapun akan terus memantau situasi jangkitan Covid-19 dari semasa ke semasa selain mengambil langkah pencegahan.

WhatsApp chat