COVID-19: Serie A Tanpa Penyokong Di Stadium

ITALI mengarahkan semua acara sukan utama termasuk aksi Serie A dilangsungkan tanpa penonton selama sebulan dalam usaha mencegah penularan wabak koronavirus di negara itu.

Langkah diumumkan kerajaan itu turut membabitkan Kejohanan Ragbi Enam Negara di antara Itali dan England yang dijadualkan berlangsung di Rome pada 14 Mac dan Juventus menentang Olympique Lyonnais dalam saingan Liga Juara-Juara pada 17 Mac.

Semua sekolah dan universiti ditutup semalam bertujuan bagi memperlahankan penularan wabak koronavirus di Itali selepas dilaporkan terdapat 300 kes membabitkan 107 kematian. Larangan ke atas orang ramai menyaksikan acara sukan sebelum ini berkuat kuasa di tiga wilayah di utara dan kini ke seluruh negara sehingga 3 April.

Sehingga sekarang, Serie A lebih memilih penundaan perlawanan di wilayah terbabit berbanding dilangsungkan dalam stadium kosong dan 10 perlawanan telah pun ditunda selain dua aksi separuh akhir Piala Itali minggu ini.

Bagaimanapun, selepas mesyuarat kelab dan wakil Serie A semalam, ketua eksekutif Inter Milan Giuseppe Marotta berkata, beraksi tanpa penonton satu-satunya cara menamatkan kempen Serie A musim ini.

WhatsApp chat