Kemudahan Latihan Bertaraf A, Beri Manfaat Pada Pemain

KUALA LUMPUR: Ada pemain sampai tidak mahu balik!

Itu antara maklum balas positif yang diterima Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas skuad senior negara menjalani kem latihan selama 10 hari di Ehime, Jepun pada Disember lalu.

Dengan kemudahan latihan bertaraf A, BAM percaya fasa akhir latihan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang turut diadakan di Ehime mampu memberi manfaat kepada pemain negara.

“Pada 2018, kami menghantar skuad remaja bagi menjalani latihan di sana dan maklum balas yang diterima sangat baik. Tahun lalu pula giliran skuad senior berlatih di sana dan turut memberi reaksi yang positif.

“Mereka gembira dengan layanan yang diberikan sepanjang berada di Ehime termasuklah kemudahan yang terbaik.

“Sepanjang di sana, pemain juga sempat mempelajari budaya masyarakat Jepun antaranya sikap mereka yang menepati masa. Secara tidak langsung ia mengajar pemain kita mendisiplinkan diri.

“Justeru, semua pemain yang layak ke Olimpik nanti akan menjalani kem latihan di Ehime sebelum temasya itu bermula. Jika pemain seronok berlatih di sana, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi persiapan dari aspek emosi mereka,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Beliau turut memberitahu, badan induk itu terbuka dengan perbincangan menjadikan Ehime sebagai pangkalan buat skuad negara menjalani kem latihan biarpun selepas berakhir Olimpik Tokyo 2020.

“Perkara ini memang ada dibincangkan dengan pihak Ehime. Kami terbuka, dengan kemudahan yang mereka miliki, kami percaya ia akan memberi manfaat kepada pemain,” katanya.

WhatsApp chat