RASMI: Azizulhasni Ke Sukan Olimpik Tokyo 2020

PELUMBA berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang melayakkan diri dalam satu lagi acara lumba basikal di Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai ini selepas memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI).

Menurut ranking dunia terkini UCI itu yang dikeluarkan laman sesawang mereka www.uci.org, Azizul meningkat lima tempat ke kedudukan kelima terbaik dunia dalam acara pecut individu selepas mengumpul 2,415 mata.

‘The Poket Rocketman’ berusia 32 tahun itu, sebelum ini layak ke Tokyo menerusi acara kegemarannya ‘keirin’ selepas menduduki ranking kedua dunia di belakang juara dunia, Harrie Lavreysen dari Belanda apabila berjaya mengumpulkan 2,710 mata.

Ini penampilan Mohd Azizulhasni kali keempat di Sukan Olimpik selepas layak pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016 di mana dia memenangi pingat gangsa acara keirin.

Kejohanan Lumba Basikal Trek UCI 2020 di Berlin, Jerman, merupakan kejohanan kelayakan Olimpik terakhir.

Berdasarkan kepada format UCI, tujuh pelumba terbaik acara keirin dan pecut dalam ranking dunia UCI akan layak ke Sukan Olimpik.

Sehingga kini 10 atlet Malaysia telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka adalah Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Khairulnizam Mohd Khairulnizam Mohd Afendy (laser standard), Nur Shazrin Mohd Latif (laser radial), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (international 470), dan Khairul Anuar Mohamad (memanah).

Empat lagi merupakan atlet terjun iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee (3m papan anjal), Pandelela Rinong Pamg (10m platform) dan berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama.

WhatsApp chat