Atlet Memanah Terengganu Perlu Dinilai Semula

JURULATIH skuad memanah Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Ahmad Syafiq Azim Saeri akui ‘panahan’ atletnya perlu dinilai semula bagi memastikan sasaran yang diimpikan sebelum ini tercapai.

Ahmad Syafiq mengakui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sukar buatnya untuk meramal prestasi atlet begitu juga dengan jumlah pingat emas yang diidamkan.

Selain itu nama atlet yang bakal menggalas misi pasukannya juga masih lagi dirahsiakan atas beberapa faktor.

“Sasaran awal kita sebelum tempoh PKP adalah mahu menuai tiga pingat emas iaitu berdasarkan pencapaian pertandingan dan rekod pencapaian pesaing daripada atlet negeri lain.

“Namun disebabkan pemanah hanya melakukan latihan di rumah dengan pemantauan melalui video selain tiada pertandingan, jadi sukar buat kita untuk meramalkan pingat emas dalam temasya Sukma di Johor nanti.

“Selain itu, kami setakat ini juga belum putuskan lagi senarai atlet yang bakal memikul cabaran Terengganu kerana mereka masih lagi dalam senarai panjang.

“Lagipun kami juga sedang mengambil kira mengenai atlet yang terbabit dengan peperiksaan awam pada tahun depan yang tertangguh kerana PKP ini.

“Namun dengan tempoh yang panjang selepas PKP tamat nanti mereka diharap mampu mengembalikan semula rentak sebagaimana sebelum ini kerana latihan sendiri di rumah masih belum mencukupi walaupun mampu mengekalkan tahap kecergasan mereka,” katanya.

Pada Sukma edisi ke-19 di Perak pada 2018, skuad memanah Terengganu berjaya membawa pulang dua pingat emas dan masing-masing tiga perak dan gangsa.

WhatsApp chat