Skuad Penyu Tunduk & Akur Pada Arahan MFL

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) setuju dengan cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk menyambung semula saingan Liga Super musim ini yang dijadualkan bermula pada 1 September dan berakhir penghujung bulan.

Pengurusnya, Ahmad Shahrizal Yahya berkata, pihaknya akan mengikut apa jua keputusan yang dibuat oleh pihak terbabit berkaitan liga demi keselamatan semua ketika negara berdepan dengan krisis pandemik COVID-19.

Pada masa sama beliau menuntut barisan pemain skuad Penyu perlu sentiasa kekal cergas sepanjang masa sebelum turun kembali ke gelanggang.

“Kita ikut apa jua keputusan yang dibuat oleh badan induk bolasepak negara demi keselamatan semua termasuk pemain.

“Kepada pemain mereka harus sentiasa kekal cergas dan perlu membuat latihan di kediaman masing-masing yang dipantau jurulatih kerana setakat ini sukan membabitkan perhimpunan termasuk sentuhan seperti bola sepak dilarang kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Berdasarkan kedudukan dalam carta liga sehingga 16 Mac lalu, TFC berada di tangga kelapan dengan mengutip empat mata hasil tiga perlawanan. Ia berjaya menundukkan Kedah 4-3 dan seri 3-3 bertemu Selangor. Satu lagi aksi menyaksikan mereka tewas 1-3 kepada Perak.

Sebelum ini MFL mengeluarkan kenyataan Liga Super dan Liga Perdana akan disambung semula selama sebulan pada 1 dan 2 September sehingga 27 September 2020 dengan saingan secara separuh liga sahaja tanpa kehadiran penonton.

Saingan Piala Malaysia pula akan berlangsung pada 17 Oktober 2020 dengan formatnya akan dirombak iaitu tiada saingan peringkat kumpulan dan perlawanan diadakan secara kalah mati manakala Piala FA dan Piala Cabaran terpaksa ‘dikorbankan’ kerana kesuntukan masa.

Namun begitu cadangan berkenaan automatik akan terbatal pada musim ini jika MFL tidak mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan dan Kementerian Kesihatan untuk meneruskan Liga M yang dijadualkan semula itu.

WhatsApp chat