CR7 Telah Kembali Ke Turin Menaiki Jet Peribadinya

BINTANG Juventus, Cristiano Ronaldo kembali terbang ke Itali selepas hampir dua bulan melalui perintah berkurung di negara kelahirannya, Portugal.

Ronaldo dan keluarganya mendarat di Lapangan Terbang Turin hari ini, menurut laporan media Itali.

Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali itu tiba dengan jet peribadi bernilai £20 juta (RM107 juta) dari Madeira dan akan melalui tempoh kuarantin selama dua minggu.

Bintang berusia 35 tahun itu beraksi pada perlawanan terakhir Juventus, iaitu ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Inter Milan di Stadium Allianz, 8 Mac lalu sebelum aksi liga ditangguhkan susulan pandemik Covid-19 yang sehingga kini meragut lebih 29,000 nyawa di negara itu.

Juventus memanggil 10 pemain import mereka selepas kelab Serie A diberi lampu hijau untuk kembali menyambung sesi latihan.

Menteri Dalam Negeri Itali membenarkan pemain kembali menjalani latihan bersama kelab masing-masing sekali gus memberi harapan kepada peminat bahawa aksi liga mungkin bakal bersambung semula.

Juventus kini mendahului Serie A dengan kelebihan satu mata berbanding Lazio.

Pihak kelab masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan bilakah tarikh sebenar pemain akan kembali menjalani latihan.

Antara pemain yang sudah tiba adalah Federico Bernardeschi, Juan Cuadrado, Carlo Pinsoglio, Leonardo Bonucci dan Aaron Ramsey dengan kesemua mereka memakai penutup mulut.

WhatsApp chat