Format Saingan Liga Malaysia Musim Ini Perlu Diubah

FORMAT pertandingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini perlu diubah. Demikian pandangan daripada bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar memandangkan negara kini berdepan dengan pandemik Covid-19.

Bekas penyerang Terengganu musim 1987 hingga 1989 itu juga mengharapkan gaji pemain dapat diselesaikan secara menang-menang sambil menuntut Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mampu memainkan peranan yang lebih aktif.

“Pertama semua pasukan perlu akur dengan situasi sekarang dan wajib mengikut arahan pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung wabak ini demi kebaikan semua termasuk pemain dan penonton.

“Melihat situasi terkini, saya mencadangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) agar format pertandingan Liga M musim ini perlu diubah sekiranya mahu liga diteruskan.

“Menerusi format baharu itu perlawanan hanya perlu dilangsungkan sekali sahaja iaitu tanpa perlawanan timbal balik seperti mana liga ketika era 70-an dulu dan perlawanan sebolehnya dilangsungkan pada waktu petang untuk menjimatkan kos.

“Jadi ini bermakna tiada pusingan kedua, bagi setiap pasukan hanya akan beraksi sebanyak enam kali sahaja di laman sendiri manakala enam perlawanan lagi di tempat lawan dan gelanggang pertandingan itu haruslah diundi.

“Sebagai contoh jika sebelum ini Terengganu FC (TFC) bertemu Kedah akan ada perlawanan timbal balik dengan perlawanan dilangsungkan di setiap stadium, tapi jika diubah format baharu, hanya sekali sahaja perlawanan berlangsung.

“Ini bagi memastikan liga berlangsung dalam masa yang cepat kerana kesuntukan masa dan jika boleh hanya liga dan Piala Malaysia diteruskan manakala Piala FA perlu diketepikan musim ini.

“Kehadiran penonton pula perlu mengikut arahan semasa daripada kerajaan dan setiap pasukan usah mengabaikan keselamatan peminat mereka kerana pandemik ini berlaku hampir seluruh dunia,” katanya.

Berkaitan gaji pula katanya, PFAM boleh membantu dalam menangani perkara itu bagi memastikan kebajikan pemain tidak terabai selain kantung persatuan juga tidak kempis.

“Peranan PFAM bukan hanya setakat berkaitan gaji tapi lebih luas lagi dalam membantu pemain menjadi insan yang mampu menjana pendapatan sendiri selepas pemain bersara ataupun ketika masih beraksi.

“PFAM perlu ‘mendewasakan’ pemain ke arah lebih profesional dan berjaya dalam hidup,” katanya.

WhatsApp chat