PSM Sedia Merayu Meneruskan Liga Selepas Tamat PKP

PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersedia membuat rayuan kepada kerajaan untuk meneruskan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Bagaimanapun presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail tidak mahu pemain dan pegawai berdepan risiko krisis Covid-19 itu, sebaliknya rayuan dibuat jika situasi wabak benar-benar pulih sepenuhnya.

“Kita akur arahan kerajaan dan dalam masa sama PSM akan mencari jalan lain lagi agar perjalanan STL tahun ini dikawal dengan suatu cara tidak membahayakan.

“PSM akan memantau soal penularan Covid-19 dan PKP. Sekiranya PKP ditamatkan dan Covid-19 dapat dikawal, maka PSM akan meneruskan juga saingan STL yang dijadualkan berlangsung bermula 15 Ogos depan di Kelantan sebagai gelanggang permulaan.

“Sekiranya perlu, PSM akan membuat rayuan kepada kerajaan, mungkin ketika itu PSM boleh anjurkan liga tanpa penonton kerana STL disiarkan secara langsung melalui televisyen yang sudah dipersetujui sebagaimana musim lalu berjaya mencecah 6.2 juta penonton,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai arahan terbaharu daripada kerajaan yang tidak membenarkan permainan berkumpulan dan perhimpunan kerana boleh mendorong penularan wabak pandemik Covid-19 itu, beliau berkata PSM akan merangka prosedur operasi standard (SOP) mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Lagipun permainan sepak takraw ada jaring pemisah dan bukannya ada ‘body touch’ antara seorang pemain dengan yang lainnya.

“Bersalaman antara pemain akan kita batalkan selain hanya pasukan bertanding sahaja akan dijemput mengikut jadual pertandingan yang akan diatur PSM.

“Pasukan yang datang awal untuk memanaskan badan akan kita pisahkan dengan pemain sedang beraksi di suatu ruang lain yang akan disediakan PSM manakala jumlah pegawai juga akan dikurangkan daripada empat kepada hanya dua orang pada setiap sesuatu pertandingan.

“Pemain pula kita akan benarkan hanya seramai lima orang dan bukannya lapan sebagaimana sebelum ini dalam sesuatu permainan dan baki tiga pemain lagi hanya akan dibenarkan apabila nama mereka didaftarkan bagi sesuatu pertandingan.

“Jumlah petugas pula termasuk pengadil akan kita usahakan agar berkurangan berada di ‘venue’ pada sesuatu masa, salah satu cara yang dapat saya fikirkan pada waktu ini adalah mungkin dengan secara syif.

“Insyha-Allah kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membuat beberapa penambahbaikan lagi bergantung pada keadaan Covid-19 pada masa itu. Apapun jua sebarang keputusan kerajaan akan pasti kami akur,” ujarnya.

WhatsApp chat