Piala Thomas, Uber Ditunda Lagi Buat Kali Yang Kedua

KEJOHANAN Piala Thomas dan Uber ditangguhkan buat kali kedua apabila tarikh baru ditetapkan pada 3 hingga 11 Oktober selepas Denmark menyambung tempoh penjarakan sosial akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini kejohanan membabitkan saingan berpasukan lelaki dan wanita itu dijadualkan berlangsung di Aarhus Mei ini, sebelum ia ditangguhkan selama tiga bulan namun tempoh berkenaan dipanjangkan lagi selepas Denmark melarang aktiviti berkumpul berama-ramai sehingga hujung Ogos.

“Ia sangat menyedihkan buat kami kerana terpaksa menukar tarikh sekali lagi. Bagaimanapun, kami paling mementingkan keselamatan semua yang terbabit dalam kejohanan ini.

“Ia masih lagi satu pencapaian terbaik buat kami selepas menjadi negara pertama dari bukan Asia untuk menganjurkan Piala Thomas dan Uber. Kami bersedia menerima kehadiran peminat, pemain, sukarelawan, pegawai dan staf tapi biarlah dalam keadaan selamat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Badminton Denmark, Bo Jensen dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Seluruh England adalah salah satu kejohanan besar terakhir yang sempat dianjurkan sebelum penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia yang menyaksikan semua cara sukan ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu.

WhatsApp chat