Lukaku Akui Tidak Berminat Untuk Kembali Ke EPL

PENYERANG Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku 26, mengakui dia tidak begitu berminat untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Lukaku berkata, dia kini gembira beraksi dengan rakan-rakan sepasukannya di Inter Milan dan dalam saingan Serie A, secara keseluruhannya.

Bagaimanapun menurut pemain kelahiran Belgiuum itu, jika diberikan pilihan, dia mungkin akan kembali beraksi dengan kelab lamanya, Anderlecht.

“Saya tidak rasa untuk kembali ke EPL kerana saya telah beraksi dengan Chelsea pada 2011. Kemudiannya, West Bromwich, Everton dan terakhir dengan Manchester United.

“Sebagai contoh, saya tidak fikir saya sukakan Everton walaupun pada ketika beraksi dengan Everton sebelum ini.

“Bagaimanapun, jika ditanya mengenai pasukan pilihan saya ketika ini, sudah tentu (beraksi dengan) Anderlecht,” katanya.

Untuk rekod, Lukaku meninggalkan Manchester United untuk menyertai Inter Milan pada Ogos 2019 lalu dan setakat ini dia telah berjaya meledak 23 jaringan dalam semua pertandingan bagi musim 2019/2020 sebelum Serie A dihentikan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu Lukaku menyifatkan Antonio Conte sebagai antara sebab dia mahu terus beraksi dengan Inter Milan.

Katanya, Conte dilihat sebagai pengurus yang disegani dan dihormati selain sentiasa memberikan semangat kepada pemain.

“Suatu ketika, Inter ketinggalan 0-2 kepada musuh setempat, AC Milan. Dia (Conte) tidak menjerit langsung sebaliknya memberitahu kami untuk lakukan apa yang disuruh dan mencari ruang dan peluang yang sesuai.

“Selepas rehat, kami berjaya bangkit untuk menang 4-2,” katanya.

WhatsApp chat