Brooks Koepka Anggap Aksi Tanpa Penyokong Amat Pelik Baginya

PEMAIN nombor tiga dunia, Brooks Koepka menganggap adalah amat pelik beraksi di kejohanan golf tanpa kehadiran penyokong ketika Jelajah US PGA akan kembali dianjurkan pada Jun.

“Ia pasti amat pelik,” kata Koepka mengenai kemungkinan beraksi tanpa penyokong berikutan kebimbangan pandemik Covid-19.

“Semangat yang dibawa oleh penyokong itulah yang menghidupkan suasana dan diingini oleh kami semua.

“Bayangkan jika anda berjaya melakukan putt di lubang terakhir dan tiada sesiapa pun yang bertepuk tangan. Anda hanya meraikannya sendiri dan situasi di sekeliling amat senyap,” katanya.

Jelas Koepka, ketiadaan penonton juga akan memberi kesan kepada fokus pemain.

“Kadangkala anda melakukan kesilapan dan kemudian penyokong akan menjadi pendorong kepada anda untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi,” katanya.

Komen Koepka hadir sehari selepas Jelajah US PGA mensasarkan 11 Jun depan untuk menganjurkan semula kejohanan itu di Colonial Country Club di Texas, salah satu daripada empat kejohanan yang akan dianjurkan tanpa kehadiran penyokong.

Ia kemudian diikuti kejohanan The RBC Heritage di Hilton Head, South Carolina; Travelers Championship di Cromwell, Connecticut dan Rocket Mortgage Classic di Detroit.

WhatsApp chat