Enam Pemain Import Patut Dibenarkan Musim Depan: Dhaarma

BEKAS jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berpandangan kuota enam pemain import bagi setiap pasukan yang bersaing dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) musim depan patut dibenarkan kembali berbanding empat pemain musim ini.

Beliau yang juga bekas pengendali skuad hoki wanita kebangsaan berkata, sekiranya dibenarkan kembali kuota enam pemain import, kualiti dan prestij menjadi lebih tinggi.

“Pandangan saya jika liga hadkan empat pemain import sahaja berbanding enam pada tahun sebelumnya ia kurang berprestij, ini kerana pemain import perlu dalam setiap pasukan untuk berdaya saing bukan seperti pasukan bola sepak, pada saya enam pemain import begitu sesuai bagi memastikan liga hoki kita lebih berkualiti dan bertaraf tinggi.

“Lagipun peraturan liga sudah menetapkan hanya lapan pemain termasuk pemain kebangsaan dan import boleh beraksi dalam satu-satu perlawanan secara bergilir, jadi kita tidak perlu risau jika benarkan enam pemain import.

“Anda lihat musim ini dengan hanya empat pemain import yang dibenarkan, kualiti liga kita nampak suram, malah jika lihat pasukan pun hanya ada lapan sahaja, sesuainya 12 pasukan, bagi saya jika dibenarkan kuota itu, saya berkeyakinan lebih banyak lagi pasukan yang berminat untuk sertai dan pasti liga kita lebih ‘power’.

“Lagipun saya difahamkan gaji pemain import tidak semahal pemain import bola sepak, mereka hanya bermain hanya dua hingga tiga bulan sahaja dengan pasukan, jadi boleh benarkan kembali dengan format sebelum ini,” ujar Dhaarma.

Ketika di tanya adakah peluang pemain tempatan terutama pemain muda akan terjejas serta tidak akan mendapat tempat dalam pasukan sekali gus permainan mereka kurang meningkat, Dhaarma menafikannya.

“Kemasukan enam pemain import dalam satu-satu pasukan tidak sesekali menutup periuk nasi pemain tempatan, sebaliknya mereka boleh belajar dengan pemain import kerana kita mahukan liga lebih berkualiti dan pemain sudah tentu perlu yang berkualiti.

“Bagi saya jika kita risau pemain tempatan, kita boleh baik pulih syarat sedia ada dengan membenarkan daripada tiga kepada lima pemain tempatan tanpa status kebangsaan untuk bermain setiap masa.

Situasi ini bermakna pemain import dan kebangsaan yang dibenarkan hanya terhad kepada enam pemain sahaja boleh beraksi dalam satu-satu perlawanan dan pasti persaingan lebih kompetitif serta akan memberi keyakinan kepada pasukan baharu untuk beraksi.

“Jika kita lihat liga di Jerman dan Belanda, persatuan mereka tidak mengehadkan jumlah pemain import dalam satu-satu pasukan, itu sebab liga mereka hebat dan pemain mereka berkualiti.

“Justeru saya harap pada tahun depan kuota itu dapat diperhalusi dan diselidiki semula demi pembangunan pemain dan kualiti liga sekali gus menarik lebih banyak pasukan sertai liga serta peminat ke stadium, tidak seperti musim ini liga semakin kurang berkualiti dan sokongan peminat juga sedikit hambar,” katanya.

WhatsApp chat