Moto3: McPhee Yakin Mampu Buat Perubahan Besar

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Racing Team, John McPhee yakin mampu melakukan perubahan besar dalam saingan Moto3 musim ini selepas kejayaan meraih podium pada pusingan pembukaan di Qatar, sebelum perlumbaan motosikal Grand Prix (MotoGP) ditangguhkan susulan COVID-19.

Pelumba British berusia 25 tahun itu berkata kejayaan menamatkan perlumbaan di tempat kedua itu memberi motivasi buatnya untuk terus mempamerkan aksi lebih baik dalam perlumbaan musim ini.

McPhee menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Aspar Team, Gaviota Albert Arenas manakala tempat ketiga diraih pelumba Honda Team Asia, Ai Ogura di Litar Antarabangsa Losail, 8 Mac lepas.

“Kami melalui pramusim yang sangat baik dan melakukan persediaan sejak tahun lepas lagi. Pertama kali dalam kerjaya perlumbaan, saya dapat berlumba dengan jentera, pasukan dan orang-orang yang sama. Ia juga sangat berharga kerana saya berjaya melakukan perlumbaan pertama tahun ini, dan mampu tersenyum sendiri ketika perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

McPhee turut mengakui mempunyai hubungan rapat dengan rakan sepasukannya yang juga pelumba negara Khairul Idham Pawi, atau lebih dikenali dengan panggilan KIP.

KIP kembali berlumba selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan tangan yang dihadapinya apabila terlibat dalam kemalangan di GP Sepanyol pada Mei tahun lepas, hingga terpaksa menjalani pembedahan.

“Kami saling menghormati. Sudah semestinya sasaran pertama setiap pelumba adalah mengatasi rakan sepasukan tapi dengan KIP, kami gembira untuk membantu satu sama lain.

“KIP pernah memenangi perlumbaan Moto3 selama dua kali, dan memang diketahui kemampuan KIP di beberapa litar serta dalam keadaan tertentu. Saya mengharapkan perlumbaan yang menarik buat kami berdua,” kata McPhee yang kini turut menjalani kuarantin bersama keluarga di Scotland.

Mengenai saingan dalam kelas Moto3, McPhee berkata beberapa pelumba seperti Tony Arbolino dari pasukan VNE Snipers, Arenas dan Ogura adalah antara pencabar terdekatnya dalam merebut gelaran.

Pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna Sports baru-baru ini telah melakukan penjadualan semula perlumbaan yang menyaksikan saingan musim 2020 akan disambung kembali di GP Jerman pada 19-21 Jun. – BERNAMA

WhatsApp chat