Coco Pernah Berdepan Dilema Dalam Karier Tenis Profesional

PEMAIN remaja Amerika, Coco Gauff pernah berdepan dilema sama ada mahu meneruskan karier tenis profesional selepas bergelut untuk mengawal jangkaan tinggi ketika dia secara tiba-tiba mempamerkan pencapaian menonjol dalam sukan itu.

Coco menarik perhatian seluruh dunia ketika melangkah ke pusingan keempat di Wimbledon tahun lalu walaupun remaja berusia 15 tahun itu beraksi atas tiket kelayakan dalam penampilan pertama di Grand Slam.

Dia kelihatan meneruskan peningkatan dalam sirkit profesional itu apabila melangkah dalam kelompok 16 terakhir di Terbuka Australia sebelum berjaya menembusi kelompok 50 pemain teratas dunia buat pertama kali pada Februari lalu.

Coco menjadi pemain berusia 15 tahun pertama yang melakukannya dalam tempoh 15 tahun – ketika dia baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-16 pada bulan lalu.

“Dalam kehidupan saya, saya selalunya antara yang termuda melakukan apa-apa perkara namun saya tidak suka memperbesarkan sesuatu perkara,” tulis Coco yang disiarkan untuk Behind The Racquet.

“Ia menambah tekanan bahawa saya perlu melakukan lebih baik dengan kadar secepat yang mungkin.

“Sebelum Wimbledon, kembali sekitar 2017/18, saya bergelut untuk memastikan adakah ini apa yang saya mahukan.

“Saya sering mempunyai keputusan yang baik jadi ia bukan sesuatu masalah, saya cuma mendapati diri saya tidak gembira dengan perkara yang saya gemarkan.

“Saya sedar saya perlu mula bermain untuk diri sendiri dan bukan untuk orang lain. Hampir setahun saya sangat tertekan. Ia adalah tahun yang cukup sukar buat saya setakat ini.

Dalam satu temu bual bersama Sky Sports tahun lalu, ketua jurulatih tenis, Patrick Mouratoglou, yang berkerja sama dengan Coco di akademinya di utara Perancis sejak pemain itu berusia 10 tahun lagi amat mengagumi bakat dan kematangan pemain Amerika itu.

WhatsApp chat