Chong Wei Akui Bahawa Lin Dan Sukar Ditandingi

BEKAS jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei buat kali pertama mendedahkan Lin Dan adalah pemain terbaik sepanjang zaman.

“Anda harus menyatakan ia adalah Lin Dan,” kata Chong Wei ketika ditanya siapakah pemain terbaik sepanjang zaman oleh bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim pada sesi Facebook live baru-baru ini yang dipetik oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kedua-dua pemain itu dianggap sebagai seteru paling hebat sepanjang zaman dalam sejarah acara perseorangan lelaki.

Sokongan peminat terhadap Chong Wei dan Lin Dan juga terbahagi dua meskipun jaguh China itu dilihat lebih mengungguli rekod pertemuan dengan 28 kemenangan daripada 40 pertemuan.

“Dia seorang legenda. Kejuaraan yang dimenanginya membuktikan segala-galanya. Kita perlu memberi penghormatan kepadanya,” katanya.

Chong Wei tewas kepada Lin Dan pada dua Sukan Olimpik (2008 dan 2012) dan dua final Kejohanan Dunia (2011 dan 2013).

Chong Wei mengakui dia begitu obses untuk menjadi pemain lebih baik berbanding Lin Dan yang memenangi dua pingat emas Sukan Olimpik dan lima gelaran juara dunia .

“Lin Dan sentiasa berada di dalam fikiran saya setiap kali kembali menjalani latihan selepas tewas kepadanya. Saya tahu jika saya mahu memenangi kejuaraan penting, saya perlu tewaskannya. Saya tidak boleh berdiam diri,” katanya.

“Malah ketika mengalami kekejangan otot, saya beritahu jurulatih bahawa saya mahu terus berlatih kerana Lin Dan menunggu saya.

“Saya memikirkannya sepanjang masa,” katanya.

Chong Wei mengumumkan persaraannya tahun lalu selepas disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal.

WhatsApp chat