Jepun Isytihar Darurat, Dinesvaran Cadang Pulang Ke Tanahair

HANYA berkurung di kediaman dan melakukan senaman ringan. Itu perkara yang dilakukan dua atlet negara masing-masing pemain ragbi, K Dinesvaran dan tonggak bawah skuad bawah 23 tahun, Hadi Fayyadh Abdul Razak apabila terpaksa melalui perintah berkurung selepas pemerintah Jepun mengumumkan darurat di beberapa kawasan.

Kali pertama melalui situasi berkenaan, sudah pasti pengumuman darurat itu memberi amaran kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati selain pergerakan menjadi lebih terbatas dan hanya boleh berkurung di rumah saja.

Dinesvaran yang bermain untuk Yamaha Jubilo berkata, dia sekarang ini hanya menjalani latihan ringan di rumah dan keluar dari kediaman apabila perlu saja.

“Jika dilihat sebelum ini, rakyat Jepun sudah membataskan pergerakan masing-masing malah semua aktiviti di luar rumah juga tiada bagi mengelak terkena wabak Covid-19.

“Setakat ini, situasi tidaklah terlalu sukar atau terbeban kerana baharu saja diumumkan darurat namun berharap rakyat Malaysia berdoa supaya segalanya berjalan lancar.

“Ikut perancangan akan pulang ke tanah air pada Jumaat ini namun segalanya bergantung kepada jadual penerbangan dan berharap tidak akan ditunda,” kata pemain ragbi yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Sebelum itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe mengumumkan darurat selama sebulan di tujuh bandar raya di Jepun susulan penularan Covid-19.

Menurut Abe, darurat dikuatkuasakan di Tokyo, Osaka, Kanagawa, Saitama, Chiba, Hyogo dan Fukuoka.

Jepun setakat ini mengesahkan 4,845 kes Covid-19 dengan angka kematian mencecah 108 orang dan seramai 1,211 pesakit sembuh sepenuhnya.

Sementara itu, turut terkesan dengan situasi terbabit adalah pemain yang beraksi bersama Fagiano Okayama iaitu Hadi apabila mengakui pengumuman terbabit turut memberi kesan kepadanya berikutan pasukan terbabit berpengkalan di Osaka.

Hadi berkata, dia akan berbincang dengan penajanya sama ada untuk terus menetap di negara terbabit atau pulang ke tanah air.

“Sekarang ini saya hanya menjalani latihan ringan saja dan sentiasa berwaspada bagi mengelak terkena jangkitan Covid-19.

“Saya perlu berbincang dengan pihak penaja sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air memandangkan situasi sekarang juga turut dialami di semua negara,” katanya.

WhatsApp chat