Kejohanan Wimbledon Sah Dibatalkan Berikutan Wabak Koronavirus

ALL England Club akan mengumumkan pembatalan kejohanan Wimbledon selepas mesyuarat ahli lembaga Rabu ini, menurut salah seorang yang berpengaruh di dalam sukan itu.

Kerugian daripada kegagalan penganjuran kejohanan itu akan dilindungi oleh insurans khas pandemik Covid-19.

Menerusi satu temuramah bersama media Jerman, individu berpengalaman di bahagian pentadbiran tenis Jerman, Dirk Hordorff menerangkan perbezaan tindakan yang diambil oleh All England Club dengan Persekutuan Tenis Perancis (FFT) yang mencetuskan kemarahan pemegang taruh lain apabila mengumumkan penangguhan Terbuka Perancis pada 17 Mac lalu.

Menurut Horforff, pengerusi FFT, Bernard Giudicelli memberi tekanan tanpa sebarang rundingan. Giudicelli didakwa mahu menyerlahkan dirinya dan tidak menghiraukan apa yang berlaku di seluruh dunia.

“Hanya Wimbledon satu-satunya saingan Grand Slam yang dilindungi insurans. Jadi kerugian dapat diminimumkan,” kata Horforff.

Apabila Wimbledon dibatalkan, ia akan menyaksikan kali pertama selepas Perang Dunia Kedua kejohanan berprestij itu tidak dapat dianjurkan.

Pilihan lain adalah untuk menganjurkan kejohanan itu secara tertutup atau ditangguhkan.

Pilihan pertama masih lagi memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk menguruskan kejohanan itu manakala pilihan kedua dilihat tidak praktikal untuk gelanggang rumput di Wimbledon.

All England Club sudah bersedia untuk bekerjasama membantu membendung penularan Covid-19.

“Kami menawarkan kemudahan kami kepada NHS (Pusat Kesihatan Kebangsaan) dan cuba membantu semampu yang mungkin,” kata badan induk itu menerusi satu kenyataan.

WhatsApp chat