KBS Sedia Membawa Pulang 48 Atlet Di Luar Negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia membawa pulang 48 atlet yang kini berada di luar negara sekiranya ada keperluan berbuat demikian.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu akan dilaksanakan sekiranya keadaan wabak COVID-19 di luar negara menjadi bertambah buruk.

Bagaimanapun, Reezal mengesahkan semua 48 atlet termasuk atlet profesional dan atlet di bawah persatuan sukan berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Majlis Sukan Negara (MSN) dan persatuan sukan masing-masing sudah berhubung dengan atlet terbabit untuk mengetahui perkembangan dan keadaan mereka selain menasihati supaya mematuhi arahan yang dikuatkuasakan di negara masing-masing.

“Atlet dan keluarga mereka dinasihatkan berdaftar dan berhubung dengan Kedutaan Malaysia atau Pejabat Konsulat Malaysia yang berdekatan untuk tujuan perkembangan dan laporan terkini selain sekiranya ada sebarang keperluan kecemasan.

“Keadaan wabak COVID-19 di luar negara mungkin berubah, jadi KBS serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan akan sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebagai rekod, atlet Malaysia kini berada di 13 negara berlainan seperti Thailand (15), Amerika Syarikat (12), Australia (7), Jerman (3), United Kingdom (2), Jepun (2), Kanada (1), Sweden (1), Perancis (1), Switzerland (1), Singapura (1), Chinese Taipei (1), dan Indonesia (1).

Daripada jumlah itu, seramai 25 orang terbabit dalam Program Podium manakala 23 lagi atlet daripada luar program berkenaan.

WhatsApp chat