Peraturan Sukan Silat Baru, Semua Serangan Dibenarkan

KUALA LUMPUR: Arena sukan persilatan akan mempraktikkan peraturan baharu lebih ‘terbuka’ dan agresif tatkala Kejuaraan Silat Dunia yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak Julai ini ditunda pada tarikh baharu, 7 hingga 13 Disember ini akibat penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, peraturan baharu ini sudah dipersetujui dan ditandatangani empat negara utama iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.

Katanya, perbincangan mengenai peraturan lebih menarik ini sudah dibawanya sejak bertahun lalu dan penerimaan idea berkenaan mula diterima pada Oktober lalu di Singapura selepas pertemuan dengan wakil negara jiran itu dan Indonesia.

“Ini bermakna, pertandingan sukan silat selepas ini lebih menarik, jadi bila menarik ini dan tak banyak peraturan maka semua boleh… semua serangan dibenarkan.

“Dulu, sekiranya pijak garisan (gelanggang), (pertandingan) diberhentikan dan kena masuk dalam semula. Sekarang keluarlah tiga suku badan pun, asalkan ibu jari masih memijak garisan, (pertandingan) terus lawan.

“Nak tangkap, nak tumbuk sampai berapa kali pun, tak ada masalah. Boleh tarik menarik… ini lebih menarik dan lebih mudah untuk wasit membuat keputusan.

“Kita akan perbaiki daripada sistem pemarkahan juga. Sistem pemarkahan juga berubah. Kita tak gunakan lima juri lagi, hanya tiga juri saja. Tapi sistem pemarkahan berbeza, tiga juri ini kita gunakan sistem baharu, dua juri bagi markah sama, baru markah itu diterima.

“Praktikal sudah dibuat, uji cuba sistem itu dan ia diterima baik. Sepatutnya pada 31 Mac ini kita mengadakan satu bengkel di Jakarta, Indonesia, kerana berlaku COVID-19 ini, kita terpaksa menangguhkannya.

“Jadi saya percaya, ia lebih menarik untuk ditonton dan lebih agresif. Silat ini kaya dengan teknik. Kita kaya dengan teknik tapi ‘memiskinkan’ teknik hanya kerana kaedah pertandingan. Pada saya, itu tidak kena dan syukur Brunei, Indonesia, Singapura dan Malaysia sudah menandatangani dan bersetuju,” kata Megat.

Peraturan baharu ini dijadual dipraktikkan buat kali pertamanya di Kejuaraan Silat Dunia 2020 di Kuching, Disember ini.

WhatsApp chat