Piala Malaysia Berkemungkinan Besar Akan Diabatalkan

NASIB saingan Piala Malaysia ibarat telur di hujung tanduk apabila sebahagian besar pasukan dikatakan akan mengundi untuk tidak melangsungkan saingan tertua benua Asia itu dalam mesyuarat bersama Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang akan diadakan secara ‘teleconferencing’ tidak lama lagi.

Langkah berkenaan diambil bagi mengelakkan saingan Liga Malaysia (Liga M) diheret hingga ke Disember yang mungkin menambahkan masalah buat semua pasukan terutama dalam soal lanjutan kontrak pemain yang semuanya diikat hingga 30 November.

Seperti mana pendedahan Arena Metro, kebanyakan pasukan bimbang situasi tidak menentu Liga M susulan penangguhan ekoran wabak Covid-19 ketika ini.

Malah, penangguhan liga domestik itu juga selari dengan arahan kerajaan yang mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung virus itu.

Jelas sumber, laporan Arena Metro minggu lalu jelas membuka mata segelintir pasukan untuk senada dengan pendapat dua pasukan iaitu Felda United dan Kelantan yang melihat rombakan format Piala Malaysia atau memansuhkan kejohanan itu sebagai jalan terbaik.

“Selepas media (Arena Metro) melaporkan cadangan Setiausaha Agung Felda United dan Kafa (Persatuan Bolasepak Kelantan), kemungkinan pasukan lain juga akan menyokong.

“Ini kerana penangguhan liga sekarang memberi kesan dan impak yang begitu besar kepada kantung pasukan. Apabila liga berhenti, pasukan tak boleh nak jual tiket perlawanan dan ada juga penaja yang mula ragu-ragu dengan pasukan.

“Bayangkan kalau liga terus ditangguh lagi hingga berbulan-bulan, dan kemudian baru nak jalan balik, mungkin liga akan tamat hingga hujung Disember. Jadi ia akan timbulkan banyak masalah terutama pembayaran gaji pemain pada bulan 12 nanti. Saya fikir dengan memansuhkan Piala Malaysia adalah jalan terbaik dengan keutamaan kita habiskan dulu Liga Super dan Liga Perdana serta Piala FA,” kata sumber itu.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menangguhkan semua saingan domestik termasuk yang dikelolakan MFL seperti Liga Super, Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia hingga ke satu tarikh yang belum dipastikan lagi.

WhatsApp chat