Pemain Bayern Setuju Gaji Dipotong Untuk Bantuan Kelab Lain

BERLIN: Pemain bola sepak kelab utama Jerman termasuk Bayern Munich sudah bersetuju untuk memotong gaji bagi membantu kelab lain dalam menangani impak ekonomi berikutan coronavirus, lapor media hari ini.

Akhbar Bild melaporkan bahawa pemain dan pegawai kelab juara Jerman, Bayern yang mendahului Bundesliga ketika ia tergendala pada 13 Mac, menerima pemotongan 20 peratus daripada gaji mereka.

Sama seperti semua liga utama Eropah, liga Jerman hilang pendapatan daripada penyiaran, penajaan dan jualan tiket ketika pandemik COVID-19, dengan perlawanan di Jerman ditangguhkan sehingga sekurang-kurangnya 2 April.

Perbelanjaan Bayern mencecah 336 juta euro (RM1.619 bilion) tahun lalu, hampir separuh daripada pendapatan keseluruhan kelab.

Pemain Borussia Moenchengladbach yang pertama mencadangkan pemotongan gaji dalam Bundesliga diikuti Werder Bremen dan Schalke 04.

Pemain Borussia Dortmund dan Bayer Leverkusen juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan untuk cadangan pemotongan gaji.

WhatsApp chat