Proses Baik Pulih Telah Siap, PJ City Miliki Gelanggang Sendiri

KUALA LUMPUR: Petaling Jaya City FC (PJ City) boleh menarik nafas lega selepas proses baik pulih gelanggang rasmi mereka, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) didakwa sudah siap sepenuhnya.

Pengurus PJ City, K Rajan bagaimanapun menjelaskan pihaknya perlu mendapatkan kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sama ada stadium itu memenuhi kriteria ditetapkan atau sebaliknya untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

“Proses baik pulih sudah siap dan sekarang kini hanya menunggu MFL melakukan pemeriksaan selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami akui agak lewat untuk selesai proses baik pulih, namun masalah terbabit sudah diatasi oleh pihak kontraktor dengan melakukan penambahbaikan di kawasan padang dan trek,” katanya.

PJ City berdepan kesukaran untuk mendapatkan gelanggang rasmi pada awal musim ini susulan Stadium MBPJ tidak dapat digunakan kerana proses baik pulih.

Lebih menyukarkan mereka apabila beberapa gelanggang di Lembah Klang juga tidak dapat digunakan termasuk Stadium Bolasepak Kuala Lumpur yang sudah menjadi gelanggang rasmi Kuala Lumpur dan PDRM selain Stadium Majlis Perbandaran Selayang dikatakan berdepan masalah lampu limpah.

Keadaan sukar itu juga menyaksikan PJ City berdepan hukuman daripada MFL susulan kegagalan mereka menyediakan gelanggang bagi aksi liga berdepan Terengganu FC sebelum ini, yang menyebabkan perlawanan itu terpaksa ditunda.

WhatsApp chat