Arsenal Sanggup Berbelanja Lebih Demi Smalling

ARSENAL telah menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan khidmat pertahanan Manchester United, Chris Smalling yang kini bermain di AS Roma secara pinjaman.

Mikel Arteta ingin menguatkan lagi barisan pertahanan dengan pemain berpengalaman dan sehingga kini Smalling menjadi sasaran utamanya.

Menurut Express, pasukan yang berpengkalan di London itu mempergiatkan usaha mereka dalam mendapatkan tandatangan pemain berusia 30 tahun tersebut.

Walau bagaimanapun, Manchester United telah meletakkan tanda harga yang bernilai £25juta (RM138juta) bagi mana-mana kelab yang ingin mendapatkan khidmat pemain yang berasal dari England itu.

Arsenal menyatakan kesanggupan mereka untuk membayar nilai tersebut bagi membawa masuk Smalling pada perpindahan musim panas ini.

Dalam pada itu, Jose Mourinho turut menunjukkan minat untuk membawa Smalling ke Tottenham Hotspurs, sementara Everton juga sanggup melabur wang untuk mendapatkan pemain tersebut.

Ketua jurulatih AS Roma, Paulo Fonseca berharap supaya kelabnya dapat memujuk Smalling untuk bermain buat AS Roma pada musim hadapan.

Pada Februari lalu, Fonseca memberitahu media di Itali bahawa mereka sedang berusaha untuk mendapatkan Smalling secara tetap.

“Dia mempunyai fizikal yang kuat dan taktikalnya sesuai dengan bola sepak di Itali.

“Dia juga sering menunjukkan aksi berkualiti tinggi dan kehadirannya sangat penting buat kelab dan penyokong AS Roma,” ujar Fonseca.

WhatsApp chat