TMJ: Sistem Penjualan Tiket, Laluan Masuk Akan Diperbaiki

Selepas berlakunya insiden kekecohan penyokong JDT ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2020, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berjanji akan memperbaiki kelemahan sedia ada.

Dalam satu video klip yang diterbitkan oleh Johor Southern Tigers, TMJ sudah mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penyokong JDT terutamanya dari segi sistem penjualan tiket dan jalan untuk masuk ke Stadium Sultan Ibrahim.

Minggu lepas, terdapat penyokong JDT yang berang apabila tidak dapat membeli tiket untuk menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan Kedah.

Malah, jalan ke arah stadium baharu JDT mengalami kesesakan lalu lintas apabila hanya ada satu laluan sahaja untuk penyokong masuk dan keluar.

“Buat masa ini saya tidak puas hati lagi,” kata TMJ dalam video rasmi Johor Southern Tigers.

“Saya mengarahkan kakitangan JDT berbincang dan menilai bersama wakil penyokong JDT untuk perbaiki sistem penjualan tiket.

“Jalan masuk ke stadium juga akan diperbaiki pada masa akan datang.

‘Saya bersama pihak pengurusan serta penyokong memainkan peranan untuk memperbaiki kelab, inilah uniknya JDT, sebab itu kita katakan JDT Empire.

“Saya juga akan membuat penilaian dan kajian untuk meningkatkan kemudahan sedia ada dengan mengarahkan supaya pihak pengurusan menjalankan tugas secepat mungkin.”

“Kita perlu tackle this issue supaya ia tidak melarat.”

WhatsApp chat