Skuad Lang Merah Rancang Kembali Berlatih Julai

KEDAH merancang untuk kembali memulakan latihan sekitar Julai depan jika mendapat kelulusan dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ia selepas skuad Lang Merah ketika ini hanya menjalani latihan menggunakan aplikasi persidangan video sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, pihaknya sedar perkara itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya mendapat kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), FAM dan MFL.

“Kami merancang untuk kembali mengadakan latihan pasukan dengan kumpulan kecil setiap sesi dan berlangsung secara tertutup. Perancangannya adalah awal Julai.

“Namun perancangan itu masih dalam perhatian dan tertakluk kepada kelulusan yang akan diberikan oleh beberapa pihak seperti KFA, FAM dan MFL dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu yang dijangka akan diperkenalkan.

“Kami tetap akur dengan apa sahaja keputusan berkaitan peraturan yang akan diputuskan nanti, samada dibenarkan berlatih atau perlu ada perubahan kerana keputusan yang akan dibuat nanti adalah demi kebaikan dan keselamatan semua yang terbabit.

Pengendali berusia 42 tahun ini juga berkata, pihaknya masih menunggu maklumat terkini berkaitan sebarang arahan termasuk SOP yang bakal diperkenalkan untuk sesi latihan setiap pasukan.

“Kami menjangkakan satu garis panduan yang ketat akan dikeluarkan dan saya yakin semua pemain bersedia melaksanakan peraturan latihan yang ditetapkan,” katanya.

WhatsApp chat