Tenis Di Jerman Bakal Bersambung Dengan Mematuhi SOP

TIADA aktiviti berjabat tangan, tiada pengadil garisan, budak pengutip bola atau penyokong dibenarkan tetapi peminat tenis berpeluang menyaksikan beberapa siri perlawanan pertunjukan yang disiarkan secara langsung dari venue luar bandar di Jerman bermula hari ini.

Susulan pandemik koronavirus, Jelajah ATP dan WTA digantung sehingga sekurang-kurangnya 13 Julai.

Bagaimanapun, peminat tenis boleh menyaksikannya secara langsung menerusi kejohanan membabitkan lapan pemain lelaki di Base Tennis Academy yang terletak di bandar kecil Hoehr-Grenzhausen, berdekatan Koblenz.

Bekas pemain nombor 43 dunia dari Jerman, Dustin Brown yang menewaskan Rafael Nadal pada pusingan kedua Wimbledon 2015, satu-satunya pemain ternama dalam kejohanan yang disertai pemain di luar ranking 100 dunia.

Rakan senegara, Yannick Hanfmann, 28, muncul pemain ranking tertinggi di tangga ke-143.

“Saya sangat gembira,” kata Hanfmann.

Gelanggang akademi dilengkapkan dengan kamera dan perlawanan akan disiarkan secara langsung.

Susulan koronavirus, hanya dua pemain dan pengadil berada di atas gelanggang tanah liat itu pada satu-satu masa.

Penyiar digital Tennis Channel yang mempunyai 62 juta pelanggan di Amerika Syarikat akan menyiarkan perlawanan tiga peringkat kejohanan bermula hari ini, 7 Mei dan 14 Mei.

“Saya teruja mengetahui berapa ramai menyaksikan perlawanan ini,” kata Hanfmann.

Ketika pandemik koronavirus melanda Jerman pada pertengahan Jerman, Hanfmann menghabiskan masa di rumah bersama keluarga, sesuatu yang jarang dapat dinikmati sebelum ini.

WhatsApp chat