Presiden UFC Adakan Program Bagi Mengumpul Dana COVID-19

PRESIDEN UFC, Dana White mengumumkan plan menarik buat peminat memilih dua atlet yang akan bertarung sebagai sebahagian daripada program mengumpul dana Covid-19.

Tidak cukup dengan itu peminat juga berpeluang keluar bertemu pelakon wanita yang memenangi anugerah Academy, Halle Berry sebagai salah satu tarikan acara itu.

All In Challenge diadakan bagi mengumpul dana dan membantu mereka yang terkesan berikutan pandemik ketika ini dengan White berganding bahu bersama peminat utama UFC, Halle untuk memberi peluang peminat bertuah merasai pengalaman sekali seumur hidup.

Pakej berkenaan turut membabitkan dua tiket pergi balik ke Las Vegas, lawatan persendirian dan sesi latihan di Institut Persembahan UFC dan tiga malam menetap di hotel empat bintang di Sin City.

“Peminat yang akan memenangi pertandingan ini, adalah pakej terbesar yang kami lakukan.” kata White kepada TMZ.

“Akan ada mesyuarat pemilihan dan saya akan memberikan mereka pilihan untuk bertarung. Selain berpeluang, makan malam bersama Halle Berry, duduk di sebelah ketika perlawanan dan berpeluang keluar bersama pelakon itu.

“Dia adalah antara yang sangat baik, tenang di dunia dan peminat utama MMA sama seperti siapa sahaja yang akan memenangi pertandingan ini jadi anda boleh duduk di sana dan bercakap mengenai perlawanan bersamanya.

Peminat dan tetamu akan meluangkan masa di ruang VIP White dan akan pulang ke rumah dengan cenderamata yang ditandatangani.

Bagaimanapun, White mengesahkan kebanyakan peminat berhasrat melihat aksi pertarungan dua atlet popular UFC, Khabib Nurmagomedov dan Conor McGregor namun ia tidak bermakna mereka akan dipertemukan sebaliknya ia bergantung kepada pilihan dan mesyuarat nanti.

Peminat berusia 21 ke atas perlu melayari laman web All In Challenge untuk menyertainya.

Semua dana yang terkumpul akan diagihkan ke badan kebajikan seperti Feeding America, Meals On Wheels, World Central Kitchen dan No Kid Hungry.

WhatsApp chat