Pelbagai Impak Buruk Akan Melanda Liga Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasukan terkubur dan nilai pemain merudum!

Itu antara impak buruk yang dijangka akan melanda arena bola sepak negara musim depan susulan pandemik COVID-19.

Pengkritik bola sepak tempatan, Serbegeth Singh menjelaskan perkara itu tidak mustahil akan berlaku kerana COVID-19 memberi kesan menyeluruh termasuk ekonomi dunia yang sudah pasti berkait rapat dengan penajaan dalam bola sepak.

Dia yang juga bekas pemain kebangsaan turut meramalkan ‘harga’ bola sepak termasuk Liga Malaysia (Liga M) akan kembali kepada nilai sebenar mengikut tahap permainan dan kekuatan liga.

“Kita akan kembali kepada realiti selepas bola sepak ketika ini dijual begitu mahal. Penaja tetap akan taja tapi ikut pada nilai (liga) sebab ekonomi dunia hadapi masalah besar,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

“Nilai pemain akan turun, nilai pasukan akan turun, nilai penaja akan turun, segalanya akan turun dan sekiranya ada kelab yang langsung tak boleh berdikari dalam keadaan begini, mereka akan tenggelam. Itu akan berlaku.

“Kalau ada pemain yang akan tamat kontrak hujung tahun ini, jangan sangka tahun depan pemain itu akan diberi kontrak yang tinggi atau lumayan. Kita akan kembali kepada nilai sebenar, bola sepak di seluruh dunia akan mengalami masalah.

“Bukan saja Serbegeth, beberapa pemerhati bola sepak tempatan juga tidak menolak kemungkinan beberapa pasukan kerdil yang tidak mempunyai kewangan kukuh akan ‘tutup kedai’ musim depan sekiranya saingan Liga M musim ini dibatalkan.

Selain itu, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby menegaskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak perlu menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan kepada mana-mana pasukan termasuk pasukan kerdil.

“Kita beraksi dalam lapangan bola sepak profesional dan perkataan profesional itu maksudnya kita sudah berdikari. Jika pasukan amatur atau liga amatur bolehlah kita kata FAM bagi duit sikit.

“Tapi kalau (dalam liga) profesional, maaf. Tidak seharusnya FAM atau MFL menghulurkan bantuan kewangan kepada sesiapa atau mana-mana pasukan,” katanya.

WhatsApp chat