Jangan Ambil Risiko Untuk Menyambung Liga Malaysia

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko menyambung semula saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Shukor Salleh berkata, FAM dan MFL perlu menimbangkan untuk membatalkan saingan liga bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

Menurutnya, ia tidak menjamin penyakit tersebut tidak boleh berjangkit kepada pemain dan pegawai pasukan yang bertanding walaupun bermain tanpa kehadiran penyokong sekali pun.

“Dalam keadaan sekarang dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) seharusnya liga dibatalkan. Jangan ambil risiko yang besar kepada pemain dan pegawai pasukan.

“Saya percaya dalam waktu ini kesihatan yang perlu diutamakan dan saingan liga ini boleh dimulakan semula sekiranya keadaan betul-betul sudah pulih. Mungkin pada tahun hadapan atau mengikut kesesuaian.

“Kalau nak sambung semula untuk musim ini pun sudah beberapa bulan tertangguh dan ia akan menyukarkan pasukan dalam beberapa perkara terutama untuk memastikan bersedia menyambung saingan liga,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Terdahulu sebelum ini, FAM dan MFL menegaskan bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk kembali meneruskan saingan Liga-M musim ini sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Malah kedua-dua badan tersebut juga menegaskan sudah mempunyai perancangan teliti untuk kesemua pertandingan di bawah kelolaan FAM termasuk Piala Belia dan Piala Presiden musim ini.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim berpendapat, FAM dan MFL tidak perlu tergesa-gesa untuk menyambung semula saingan liga sebaliknya perlu melihat kepada kesesuaian masa untuk meneruskan kalendar bola sepak di negara ini.

“Mungkin paling awal boleh disambung pun pada bulan Jun dan perlu mengambil kira semua aspek termasuk saranan pihak berkuasa. Tetapi dalam waktu sekarang jangan terburu-buru.

“Jika perlu bermain tanpa kehadiran penyokong, ia perlu dilakukan untuk tempoh beberapa bulan untuk melihat keberkesanan pendekatan tersebut dan memastikan wabak tersebut tidak menular dalam kancah saingan liga.

“Apa yang lebih penting adalah keselamatan pemain, pegawai dan semua yang terlibat pada saingan liga. Kita tidak mahu perkara buruk berlaku sekiranya saingan liga disambung semula nanti dalam keadaan wabak Covid-19 yang belum lagi pulih sepenuhnya,” katanya.

WhatsApp chat