Bola Sepak Jerman Bakal Disambung Pada Bulan Depan

BERLIN: Pihak berkuasa bola sepak Jerman dijangka akan mengumumkan perancangan untuk memulakan perlawanan Bundesliga pada 9 Mei dalam stadium kosong, namun potensi untuk melakukannya ketika pandemik coronavirus berdepan tentangan.

Canselor Jerman, Angela Merkel perlahan-lahan mengurangkan perintah kawalan di seluruh negara dan memulakan Bundesliga, yang tergendala sejak 13 Mac pasti akan meningkatkan moral negara yang gilakan bola sepak itu.

Ia pasti akan menjadikan Bundesliga liga utama Eropah pertama akan kembali berlangsung.

Perhimpunan besar diharamkan di Jerman hingga 31 Ogos dan bola sepak boleh disambung tanpa penonton – dikenali sebagai “perlawanan hantu” di Jerman.

Jerman memiliki kapasiti ujian lebih banyak berbanding negara Eropah lain dan pemain boleh diuji dengan lebih kerap.

Sebanyak 18 kelab sudah kembali berlatih selama tiga minggu walaupun hanya dalam kumpulan kecil dengan jarak sosial diperhatikan walaupun di atas padang.

Selepas diberikan petunjuk menggalakkan daripada ahli politik, Liga Bolasepak Jerman (DFL) dijangka akan mengeluarkan rancangan teliti esok menerusi sidang video bersama kelab. – AFP

WhatsApp chat