Tyson Pernah Mengurung Jurulatihnya Dengan Harimau Peliharaannya

LONDON: Bekas jurulatih Mike Tyson, Jeff Fenech mendedahkan legenda tinju itu pernah menguncinya di dalam kurungan – dengan harimau peliharaannya.

Tyson, 53, memang dikenali dengan dua harimau yang dibawanya untuk tinggal bersama di rumah agamnya di Las Vegas.

“Kali pertama saya pergi ke rumahnya, saya nampak dia membela harimau.

“Dia mencampakkan saya ke dalam kurungan dan kemudiannya mengunci kurungan itu.

“Tidak banyak perkara yang saya takutkan tetapi saya perlu menukar seluar dalam saya selepas keluar daripada kurungan itu.”

Dalam masa sama, dia turut menjelaskan ketaksuban anak perempuannya terhadap anak singa gunung Tyson hampir menimbulkan masalah buatnya ketika di sekolah.

“Anak bongsu saya begitu terpegun dengan anak singa gunung itu yang berlari dan melompat ke sana sini dan dia mengambil beberapa gambarnya.

“Ketika di sekolah, dia menceritakan kepada seluruh kelas bahawa dia pergi ke rumah Mike Tyson dan bermain bersama anak singa gunung.

“Isteri saya, Suzee mendapat panggilan daripada sekolah dan berkata, anak saya menceritakan bahawa dia bermain dengan harimau di rumah Mike Tyson dan tidak baik bercerita mengenai perkara seperti ini.

“Isteri saya terpaksa menunjukkan gambar bagi membuktikan cerita itu. Gurunya beranggapan anak saya cuba menipu dengan cerita itu,” katanya. -Agensi

WhatsApp chat