Wimbledon Dibatalkan, Djokovic Menjadi Pemain Paling Rugi

NOVAK Djokovic menjadi pemain paling rugi susulan pembatalan Wimbledon, menurut Mats Wilander.

Tetapi bintang mengalami kecederaan seperti Andy Murray meraih keuntungan dengan ketiadaan kejohanan kerana semua pemain akan bermula daripada kosong.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic menang kesemua 18 perlawanan setakat ini ketika menjuarai Piala ATP, Terbuka Australia dan Kejohanan Tenis Bebas Cukai Dubai tahun ini.

Pemain Serbia itu menjuarai 17 gelaran Grand Slam termasuk dua Wimbledon terakhir.

Pencapaian hebat itu menjadikan dia pilihan utama memenangi kalendar Grand Slam tahun ini dan menyamai pencapaian Roger Federer yang meraih 20 gelaran utama.

Tetapi kini Wimbledon dibatalkan dan Terbuka AS di New York turut dalam ‘bahaya’.

“Paling rugi ialah Djokovic,” menurut Wilander yang juga juara tujuh kali Grand Slam kepada L’Equipe.

“Dia tidak kalah tahun ini dan virus Covid-19 telah menyekat momentum Novak. Ia juga kehilangan masa kepada semua pemain yang hebat menekan di belakang Big Three.

“Sudah tentu, mereka mencapai kemajuan ketika sesi latihan tetapi pemain seperti Denis Shapovalov, Stefanos Tsitsipas atau Felix Auger-Aliassime pasti lebih meningkat dengan beraksi dalam kejohanan sebenar.

“Ketika anda muda, latihan tidak menjadi tarikan sebenar. Anda tidak mahu menghabiskan masa empat jam hanya melakukan pukulan kilas. Anda sudah tentu mahu beraksi.

“Saya fikir pemain meraih manfaat daripada situasi ini ialah mereka yang pulih kecederaan dari Australia. Apabila kejohanan bersambung, setiap orang akan bermula dari kosong tetapi masalahnya kita tak tahu bila ia bermula.

“Perkara paling sukar ialah mengekalkan motivasi kerana anda tak tahu mengapa anda berlatih. Ia seperti anda menonton aksi separuh akhir Wimbledon antara John Isner dan Kevin Anderson: anda tak tahu bila ia berakhir!”

Murray yang berumur 33 tahun bulan depan tidak bermain sejak Piala Davis pada November lalu dan terlepas Terbuka Australia akibat masalah pelvik.

Seperti Roger Federer, dia berkata hanya akan kembali bertarung pada 2021.

WhatsApp chat