Pertarungan Khabib,Tony Dibatalkan Buat Kali Yang Kelima

SEPERTI yang dijangka pertarungan ‘epik’ di antara Khabib Nurmagomedov dan Tony Ferguson terpaksa dibatalkan untuk kali yang kelima, susulan ancaman wabak COVID-19.

Bagaimanapun, UFC memaklumkan bahawa acara utama di UFC 249 pada 18 April itu akan tetap diteruskan di mana Khabib akan digantikan dengan petarung Amerika Syarikat, Justin Gaethje.

Gaethje (21-2) akan bertemu Ferguson (25-3) yang juga dari Amerika Syarikat bagi merebut gelaran lightweight interim UFC.

Pemenang bagi pertarungan ini seterusnya akan bertarung pula dengan Khabib selaku juara lightweight UFC sebenar.

Menurut Presidennya Dana White, UFC 249 akan diadakan secara tertutup tanpa penonton di satu lokasi yang akan diumum nanti.

Khabib pada mulanya dijadualkan bertemu Ferguson dalam acara tersebut, namun terpaksa membatalkan hasrat itu kerana tidak dapat meninggalkan negaranya, Rusia susulan sekatan perjalanan yang dikenakan.

Petarung berusia 31 tahun itu menerusi posting di Instagramnya sebelum ini sudah pun memberi bayangan terpaksa menarik diri daripada acara itu kerana UFC dikatakan gagal menetapkan venue yang sesuai untuknya.

Untuk rekod, pertarungan antara Khabib dan Ferguson telah cuba diadakan sebanyak empat kali sebelum ini, namun terpaksa dibatalkan atas sebab kecederaan kedua-dua petarung.

Khabib pada 7 September lalu berjaya mengekalkan kejuaraanya selepas menewaskan Dustin Poirier dalam acara UFC 242 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Keputusan itu sekali gus melebarkan rekod profesional Khabib kepada 28 kemenangan tanpa kalah.

Related posts