Hup Wei Maih Punyai Peluang Untuk Melayakkan Diri Ke Sukan Olimpik

KUALA LUMPUR: Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berharap penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan segera tahun ini dengan dirinya sedang memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo yang ditunda ke satu tarikh baharu, 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Hup Wei yang pernah menyertai Olimpik 2008 dan 2012 berkata, penularan pandemik berkenaan mengganggu latihan rutinnya dan buat masa ini, dia lebih banyak melakukan latihan ringan di rumah bagi mengekalkan tahap kecergasan.

“Ada lebih setahun lagi untuk persiapan (layak ke Sukan Olimpik),” katanya. “Bagaimanapun, buat masa ini kita perlu lihat kepada keadaan semasa. Perlu berada di rumah dan tak dapat pergi ke trek. Apapun saya banyak melakukan senaman.

“Sekarang ini, bukan saya saja yang terjejas, satu dunia. Peluang itu ada untuk kelayakan namun buat ini lebih baik untuk berada di rumah saja.”

Untuk rekod, atlet berusia 32 tahun ini pernah bergelar juara Asia di Amman, Jordan pada 2007 dengan lompatan terbaiknya, 2.24 meter.

Selain itu, Hup Wei pernah merangkul empat pingat emas pada penyertaannya di Sukan SEA iaitu di Manila (2007), Vientiane (2009), Palembang (2011) dan sekali lagi di Filipina, tahun lalu.

“Kalau berkurangan (COVID-19) ini, saya boleh memulakan latihan dengan segera. Tahun depan banyak kejohanan dan jadual itu lebih padat,” katanya.

WhatsApp chat